Thursday 20 October 2011

TERIMALAH SEADANYA...


Tidak perlu mencari isteri secantik Balqis andai diri tidak sehebat Sulaiman. Mengapa mengharapkan pasangan setampan Yusof jika kasih tidak setulus Zulaikha. Tidak perlu teman seteguh Ibrahim andai diri tidak sekuat Siti Hajar. Mengapa dambakan teman hidup bak Siti Khadijah kalau diri tidak sempurna seperti junjungan Muhammad SAW. Mengapa tidak menjadi seperti Hawa yang setia menunggu dan menantikan Adam.


Terimalah dirinya seadanya dan bimbinglah pasangan kita jika terlihat kekurangannya. Adalah lumrah dunia, setiap kejadian di muka bumi ini terdapat kelebihan, kekurangan, kebaikan dan keburukan tersendiri tidak terkecuali diri kita ini sebagai hamba kepada Pencipta Yang Esa.

Carilah kebaikan dan kelebihan yang terdapat pada dirinya dan bersyukurlah kerana dipertemukan dengan dirinya. Mungkin kelebihan yang dia miliki boleh menutup dan membaiki kekurangan diri kita serta kelebihan yang kita ada boleh menyempurnakan lagi dirinya. Hargailah selagi ianya masih ada. Janganlah dikau berubah hati kerana kekurangan yang ada pada dirinya kelak. Janganlah dikau kecewakan pasanganmu andai dirinya sentiasa bersamamu dalam susah dan senang. Janganlah dikau tinggalkan dirinya andai datang pihak ketiga yang jauh lebih cantik dan kacak kerana itu semua hanyalah luaran sahaja. Bersyukurlah dengan setiap apa yang kita dikurniakan.

Berdoa’ lah agar dirinya menjadi milikmu yang sah dan halal di sisi agama serta berdoa’ lah agar hubungan tersebut diredhai Allah SWT dan berkekalan dalam konteks hidup yang berlandaskan Al-Quran dan Hadith hingga ke hembusan nafas yang terakhir. Hargailah dia selagi dia ada kerana itulah hakikatnya manusia. Apabila sudah tiada barulah menyesal dan menghargai seseorang itu. 

Bukan mudah untuk menjadi seorang hamba yang soleh dan solehah untuk melawan godaan syaitan dan hawa nafsu namun kita sama-sama boleh berusaha untuk berubah kearahnya, termasuklah juga diriku ini yang terlalu banyak kekurangannya. InsyaAllah…

Allah tidak akan beri apa yang hambaNYA harapkan tetapi Allah akan beri apa yang hambaNYA perlukan. Benar….kadang kala kita sebagai hamba berasa sedih, kecewa dan marah namun Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Maka, jalan terbaik adalah kita sebagai hamba sentiasa ingat kepada Allah ketika susah dan senang, bersyukur segala pemberianNYA serta redha dengan ketentuanNYA walaupun kadang kala perkara itu amat pahit untuk ditelan. InsyaAllah ada hikmah disebalik kepahitan itu….


No comments:

Post a Comment