Thursday 17 November 2011

Depan aku kau caci dia, belakang aku KAU CINTA DIA

Dulu aku sering terfikir kenapa aku tidak dikurniakan seorang sahabat yang betul-betul boleh aku percaya dan luahkan segala masalah. Melihat hubungan baik antara Aqilah dan Syira, buatkan hati aku sentiasa terdetik alangkah baiknya kalau dikurniakan seorang sahabat yang setia. Tinggal dirumah sewa tanpa dikelilingi keluarga terasa begitu asing. Namun penantian itu berakhir tatkala Miya masuk menyewa ke rumah sewaku.
Miya....menjelaskan perwatakan dia memang tidak dinafikan dia seorang yang cantik. Usianya sebaya denganku dan bekerja sebelah dengan pejabatku. Hubungan aku dengan Miya agak rapat apatah lagi dia hadir tatkala aku memerlukan seorang insan bernama sahabat untuk berkongsi suka dan duka. Hampir sebulan mengenalinya, aku dapat rasakan kami ada keserasian. Perangai 'gila-gila' Miya sering membuatkan aku ceria. Lebih membuatkan kami berdua akrab, rupa-rupanya Miya satu kampung dengan teman lelakiku yang bekerja tidak jauh dari pejabat kami.
Dengan Miya lah aku sering mengorek rahsia Adly, buah hatiku. Jika diikiutkan hubungan aku dengan Adly sudah terjalin hampir setahun. InsyaAllah hujung tahun ini kami merancang untuk mengikat tali pertunangan. Aku sendiri tidak pernah menyangka lelaki setampan Adly boleh tertarik dengan gadis kampung seperti aku. Namun aku tetap bersyukur kerana dia seorang lelaki yang baik. Atas kesempurnaan itu aku tidak menafikan Adly diminati ramai wanita. Malah Miya seboleh-bolehnya dia ingin mencari teman lelaki seperti Adly. Adly kacak dan berjawatan tinggi. Cuma apa yang tidak sedap didengar, sering kali aku mendapat perkhabaran yang kurang baik bila bertanyakan soal Adly pada Miya.


Perkhabaran Duka 
Antara hendak percaya atau tidak, aku sendiri tidak pasti. Maklumlah, kata Miya dia mengenali Adly dan keluarganya semenjak kecil lagi. Kata Miya, dulu Adly pernah terlibat dengan penagihan dadah bersama abangnya. Malah pernah dihalau keluarga kerana merosakkan anak dara orang sehinggalah dia merantau ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur pula kata Miya, dia sering kali melihat Adly berfoya-foya di kelab bersama ramai wanita. Waktu itu Miya mengakui belum mengenaliku. 
 Mendengar semua itu, aku rasa amat kecewa. Namun, aku tidak sampai hati untuk bertanyakan perkara sebenar daripada Adly. Sesekali aku berasa curiga dengan kenyataan Miya kerana sepanjang aku mengenali lelaki ini, dia lansung tidak menanpakkan seorang lelaki yang suka bersosial. " Ah!! Lelaki sekarang bukan boleh percaya.... apalagi hidup membujang di KL ni. Lagipun takkan lah seorang sahabat yang aku percayai sanggup mereka-reka cerita sebegini "
Inilah persoalan yang sering bermain dibenakku sejak kebelakangan ini yang akhirnya memberi kesan kepada hubungan aku dengan Adly. Suatu hari aku dan Miya merancang untuk pergi menonton wayang. Sedang asyik memilih cerita yang hendak ditonton, Adly menghubungiku untuk berjumpa dengan harapan dapat memulihkan kembali hubungan kami. Aku enggan dengan alasan belum bersedia. Kesian juga mendengar rayuan lelaki ini yang jelas tidak tahu menahu apakah punca aku semakin dingin dengannya. Atas nasihat Miya, aku bersetuju.


Berubah Watak
Peliknya Miya begitu beriya-iya mahu berjumpa dengan Adly. Katanya sudah lama tidak bertemu atau mungkin dengan kehadirannya, akan membantu keadaan yang keruh antara kami. Aku mengangguk walaupun kurang bersetuju memandangkan pertemuan ini berbentuk peribadi. Namun memandangkan Miya banyak menjadi orang tengah antara aku dan Adly, aku tiada alasan. Sebelum itu aku meminta Miya menemaniku ke tandas. 
Di tandas aku melihat Miya begitu beriya-iya berdandan. Wanginya harum semerbak umpama mahu jumpa kekasih hati. Wajah dirias dengan sedikit solekan nipis namun sudah cukup menyerlahakan kecantikan gadis kacukan Melayu Cina ini. 
Restoran makanan segara menjadi tempat kami bersua muka. Seperti biasa, aku lebih banyak mendiakan diri. Adly pula seakan terkejut dengan kehadiran Miya yang berseri-seri. Peliknya, lagak Miya lansung tidak menunjukkan seperti dia benar-benar membenci Adly sebelum ini. Adly pula kelihatan ceria dengan kerenah Miya yang ada sahaja ceritanya. Ungkapan spontan Adly yang memuji kecantikkan Miya, menyentap hati dan perasaan wanitaku. Adakah pujian itu sekadar untuk mencetuskan perbualan atau dia benar-benar maksudkannya? Aku mula tidak senang duduk. Hampir setengah jam aku rasakan kehadiranku bagaikan tunggul kayu sebelum aku mengambil keputusan untuk berlalu.
Perbualan mereka terhenti, namun untuk seketika sempat aku menoleh mereka yang ketika itu sedang sedang ermain-main dengan telefon masing-masing. Melihat aku jauh berlalu, Miya terus bergegas menuruti aku. Katanya dia berbuat begitu untuk menceriakan suasana. Tidak lebih dari itu. Aku bukannya marahkan Miya keranan mungkin apa yang dikatakannya itu adalah benar. Tetapi aku kecewa dan rasa marah pada Adly seakan tidak memberi perhatian kepadaku. Hmmm....tak apalah. Aku mengalah. Tiga hari selepas kejadian itu, aku bercadang untuk menghubungi Adly dan ingin mohon maaf kepadanya. 


Terkantoi!!
Di rumah, seperti selalu Miya masih memburu-burukkan Adly dengan macam-macam cerita. Aku abaikan demi hubungan cinta aku dengan Adly. Tapi aku berasa pelik kenapa setiap kali aku telefon, Adly tidak pernah angkat. Sehinggalah aku mengambil keputusan untuk menggunakan telefon Miya yang ketika itu berada di meja ruang tamu. Ketika itu, Miya di bilik air. Baru saja aku mendail nombor Adly, tertera nama 'Adly Cayunk'. Bagai luruh jantungku. Aku cuba dail...... dua kali bunyi nada dering, Adly pantas angkat. Lantas aku letak. Badanku mula menggigil sebelum dikejutkan dengan bunyi mesej telefon Miya.
Dengan terketar-ketar aku membuka mesej itu. Jelas datangnya dari Adly. Satu-persatu aku membacanya sambil menahan sebak. " Nape syg letak pulak? xsudi ke? anyway thanx sbab hadir dalam hidup abd disaat abg kecewa dgn Linda. Luv u sooo much bebeh!! " Berderau darah aku membacanya. Miya keluar dari bilik air sambil melihat aku tersedu-sedu memegang telefon bimbitnya. Aku dimarahinya sambil menyifatkan aku menceroboh hak peribadinya sambil merampas telefon itu dari tangan aku dan terus berlalu ke biliknya tanpa rasa bersalah. Aku menjerit semahu-mahunya mempersoalkan tindakan Miya kenapa melakukan semua ini kepada aku. Namun Miya hanya mengunci diri didalam biliknyatanpa menjawab sepatah pun. Aku menghubungi Adly beberapa kali, tetapi tidak diangkat. Mesej pun tidak berbalas. Saat ini aku menangis semahu-mahunya.


Redha Apa Yang Berlaku
Kini tahulah aku, Adly tidak lagi berminat denganku. Miya sengaja memburuk-burukkan Adly didepanku kerana ingin aku membenci lelaki itu. Lantas, kesempatan itu diambil untuk memiliki hati orang yang pernah aku sayang. Keesokanya, aku menghubungi orang tuaku memaklumkan hubungan aku dengan Adly sudah putus. Malah aku turut menghubungi ibu dan ayah Adly. Tentang kenapa dan mengapa ini terjadi, biarlah mereka bertanyakan sendiri dengan anak bujan mereka. Aku sedia berundur diri. Nyata, lelaki ini belum sepenuhnya setia padaku.
Buat Miya, sama sekali aku tidak menyangka engkau sanggup menikam seorang kawan dari belakang. Sepenuh kepercayaan telah aku berikan saat kita bergelar sahabat. Namun dalam diam, engkau merancang kemusnahan hidup sahabatmu sendiri. Semoga engkau berbahagia dengan apa yang engkau lakukan. Aku amat yakin, Allah itu Maha Besar dan Maha Adil. Mungkis suatu hari nanti engkau turut merasai apa yang aku rasai sekarang.
Buat remaja semua, jadikan apa yang aku lalui ini sebagai pengajaran sebelum kalian memilih seorang menjadi sahabat baik. Mungkin sebahagiannya jujur dalam persahabatan, tetapi jangan dilupa pada mereka yang suka mengambil kesempatan. 
  

1 comment:

  1. TQ sebab sudi follow blog sy yg x seberapa tu.
    Baru buat blog ke?
    Ada pape yang boleh sy bantu?
    Hehehe.. Email / shout sy keh..
    Happy friend!

    ReplyDelete